KUALA LUMPUR 7 Ogos - Ketika China disebut menjadi negara pertama yang akan pulih dari krisis ekonomi global, beberapa pelabur dari Asia Barat kini mula mengetuk pintu negara itu untuk menjadikannya sebagai lokasi pelaburan baru selepas Amerika Syarikat.
Kebangkitan negara-negara Asia Barat khususnya pelabur yang mula melihat bidang hartanah mewah, perhotelan serta penggabungan dan pemilikan (M&A) sebagai teras perniagaan baru untuk diceburi selepas mengalih pelaburan dari Amerika Syarikat.
Ketua Ekonomi China Royal Bank of Scotland di Hong Kong, Dr. Ben Simpfendorfer berkata, ketika ini, bilangan pelaburan dari Asia Barat khususnya dari Arab Saudi dan Dubai masih lagi kecil.
"Walaupun kecil bilangannya, jumlah yang dicurahkan mencecah berpuluh bilion terutamanya dalam pelaburan berkaitan pelabuhan di Shanghai, hartanah dan hotel-hotel mewah serta pembangunan infrastruktur di China," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah pada Forum Antarabangsa ISIS yang bertajuk 'Bagaimana Kebangkitan Dunia Arab Beralih dari Barat ke China' di sini hari ini.
Menurut Simpfendorfer, walaupun China melindungi atau mengawal penguasaan syarikat asing di dalam pelaburan ke negara itu, ia bukan satu halangan kepada golongan kaya Asia Barat untuk melabur.
Sebagai contoh katanya, Dubai Port World telah melabur di Shanghai, Saudi Aramco melabur AS$2 bilion (RM7 bilion) dalam hartanah serta kerabat diraja Arab Saudi, Putera Al Walid pula melabur dalam hotel-hotel mewah di China.
Walaupun terdapat kekangan, ia bukan halangan untuk membawa masuk lebih ramai pelabur kaya dari Asia Barat kerana China kini semakin terbuka dalam menarik pelaburan asing, katanya.
"Keterbukaan itu juga telah membantu lebih ramai pekerja asing terutamanya dari Asia Barat bekerja dalam sektor pembinaan yang membabitkan kepentingan dari Asia Barat selain China juga menggalakkan pembukaan sekolah berbahasa Arab," katanya.
Simpfendorfer berkata, pelabur-pelabur Asia Barat kini mula tertarik dengan pakej rangsangan ekonomi China berjumlah AS$585 bilion (RM2.047 trilion) yang mula membuahkan hasilnya walaupun pada kadar yang perlahan.
"Jangkaan ekonomi China berkembang sebanyak 6.5 peratus tetapi kami yakin dengan sasaran itu berikutan beberapa kajian dan penyelidikan telah dibuat di samping keupayaan pasaran saham negara itu yang semakin baik," katanya.
No comments:
Post a Comment