Fund Price

Wednesday, August 26, 2009

Produk syariah semakin diterima

KUALA LUMPUR 25 Ogos – CIMB-Principal Islamic Asset Management Sdn. Bhd. (CIMB-Principal Islamic) menyasarkan pengurusan asetnya meningkat sehingga AS$400 juta (RM1.4 bilion) menjelang akhir tahun ini.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Noripah Kamso berkata, sasaran itu dibuat ekoran penerimaan produk pelaburan berasaskan syariahnya yang semakin meningkat pada masa ini.

‘‘Setakat ini kami telah menguruskan aset sebanyak AS$1.3 bilion (RM4.57 bilion) sehingga 30 Jun lalu, oleh itu untuk menambah jumlah tersebut adalah realistik bagi mengukuhkan rekod kami,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas taklimat media ‘Pelaburan di masa hadapan: langkah seterusnya?’ di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Principal Global Investors, Barbara McKenzie dan Pengarah Urusan Asia ex Jepun, Principal Global Investors (S) Ltd, Kirk West.

CIMB-Principal Islamic merupakan cabang organisasi kepada CIMB-

Principal Asset Management Bhd. (CIMB-Principal Asset) telah menerima mandat pengurusan aset berasaskan Syariah sejak 2000.

Tambah Noripah, pengurusan aset Islam yang turut melibatkan pasaran sukuk pada tahun ini bernilai AS$12 bilion (RM42.24 bilion) dan setakat ini AS$8 bilion (RM28.16 bilion) sukuk telah diterbitkan.

‘‘Pada tahun 2010, jumlah tersebut dijangka melebihi AS$12 bilion (RM42.24 bilion),’’ jelasnya.

Selain itu, Noripah berkata, kajian telah menunjukkan dan mengesahkan selepas krisis ekonomi pelaburan berasaskan Syariah adalah relevan kerana ia mempunyai kualiti, mudah dan selamat.

‘‘Untuk terus menarik minat pelabur bagi mendapatkan produk berasaskan syariah ini, syarikat pengurus dana perlu mengeluarkan dana Islam yang bersifat global dan tidak hanya tertumpu kepada pasaran tempatan sahaja,’’ katanya.

Sementara itu, Mckenzie berkata, dengan senario selepas krisis ini pengurus aset menjangkakan beberapa peraturan akan diubah terutama bagi dana lindung nilai serta derivatif.

No comments:

Post a Comment