Fund Price

Monday, August 3, 2009

Harga saham di paras tertinggi

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Harga-harga saham di Bursa Malaysia dijangka mencecah paras tinggi baharu minggu ini berikutan pelancaran Amanah Saham 1Malaysia (AS1M), yang antara lain menjadi faktor yang merangsang keyakinan, kata para peniaga.

Mereka berkata, Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia Kuala Lumpur (FBM KLCI) dijangka menguji paras 1,183 mata, berdasarkan faktor tempatan dan asing yang menyumbang kepada aliran harga meningkat.

Seorang peniaga berkata, keyakinan pasaran adalah dirangsang oleh jangkaan lebih banyak mudah tunai dalam pasaran tempatan dalam bulan-bulan yang akan datang berikutan pelancaran RM10 bilion (RM35 bilion) AS1M.

"Ia dijangkakan diterima baik oleh orang ramai berdasarkan rekod baik Permodalan Nasional Bhd. dalam mengurus unit-unit amanah.

"Saya menjangkakan AS1M dilanggan sepenuhnya dan dana itu akan merangsang pasaran saham," kata peniaga berkenaan.

Beliau berkata, pada trend keseluruhan minggu ini juga dipengaruhi faktor luaran, terutama Amerika Syarikat (AS).

"Pelabur akan melihat kedudukan ekonomi AS untuk arah tuju," katanya.

Penyedia perkhidmatan kren luar pesisir bersepadu yang baru disenaraikan, Handal Resources Bhd., meningkat 18 sen untuk ditutup pada RM1.34 pada Jumaat.

Mengikut asas mingguan, FBM KLCI menokok 19.02 mata untuk ditutup pada 1,174,90, Indeks Kewangan melonjak 141.91 mata kepada 9,555.23, Indeks Perladangan menokok 30.85 mata kepada 5,609.6 manakala Indeks Perusahaan menambah 48.34 mata kepada 2,575.98.

Bagi siri Indeks FTSE-BM, FMBEmas menokok 137.02 mata kepada 7,919.79, FBMTOP 100 menambah 129.34 mata kepada 7,706.05, FBM2BRD meningkat 280.53 mata kepada 5,291.32 dan FBM-MDQ mencatatkan 160.72 mata lebih tinggi kepada 4,258.71.

Jumlah dagangan meningkat kepada 5.457 bilion saham bernilai RM8.236 bilion berbanding 5.104 bilion saham bernilai RM7.922 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan di Papan Utama meningkat kepada 4.187 bilion unit bernilai RM7.782 bilion berbanding 4.399 bilion unit bernilai RM7.698 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan di Papan kedua meningkat kepada 706.385 juta saham bernilai RM341.231 juta berbanding 283.105 juta saham bernilai RM137.395 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Mesdaq melonjak kepada 342.206 juta unit bernilai RM58.494 juta berbanding 191.996 juta saham bernilai RM34.574 juta sebelumnya.

Waran bagaimanapun susut kepada 195.933 juta unit bernilai RM40.220 juta berbanding 229.587 juta saham bernilai RM42.9 juta minggu lepas. - BERNAMA

1 comment:

  1. btul2...nti ramai orang akan melabur kat saham2 malaysia becoz ekonomi tgh naik.mungkin akan recover from gawat dalam 2010 nanti.

    ReplyDelete