Fund Price

Tuesday, September 29, 2009

Khidmat perundangan kewangan Islam kini semakin penting: Zeti

KHIDMAT perundangan dalam kewangan Islam akan menjadi lebih penting berikutan kecekapan dan kemajuan industri itu, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. Beliau menegaskan, ini berikutan kekuatan kewangan Islam semasa krisis kewangan global berlaku, yang berjaya menambah minat, menerusi peningkatan tahap inovasi, skala dan bertambah kompleks transaksi yang juga semakin meningkat.

"Kerangka perundangan yang baik dalam kewangan Islam akan meningkatkan keyakinan awam terhadapnya, dan menawarkan platform yang membolehkan pengamal membangunkan produk kewangan yang kompleks dan inovatif bagi memenuhi permintaan pengguna yang pelbagai," katanya.

Zeti berkata demikian dalam ucaptamanya pada Seminar Keempat Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) mengenai Isu-isu Perundangan dalam Industri Perkhidmatan Kewangan Islam, di Kuala Lumpur, semalam.

Zeti juga berkata, kerangka kerja perundangan yang kukuh akan menawarkan mekanisme untuk penyelesaian pertikaian yang mengambil kira ciri berlainan bagi transaksi kewangan Islam.

"Di sinilah industri perkhidmatan perundangan memainkan peranan penting dalam menawarkan penyelesaian perundangan.

“Justeru, ia menawarkan jambatan yang penting antara ruang lingkup perundangan dan Syariah, yang membolehkan pengoperasian prinsip syariah dalam amalan kewangan Islam dilaksanakan secara sah," katanya.

Ini katanya, penting dalam menyediakan dokumentasi transaksi pembiayaan Islam bagi mengelak kekaburan serta tidak konsisten dan mengelak risiko dokumen perundangan dianggap tidak sah oleh mahkamah.

No comments:

Post a Comment