Fund Price

Thursday, September 17, 2009

Potensi besar bagi pelabur Malaysia di Laos

VIENTIANE 16 Sept. - Walaupun pelaburan Malaysia di Laos kecil berbanding pelaburan negara ASEAN yang lain, wujud potensi yang besar di dalam sektor perlombongan, pembinaan, pelancongan, kuasa hidro, pertanian dan pendidikan.

Presiden Persatuan Malaysia-Laos Zulkiflee Abdullah berkata, para pelabur Malaysia boleh meraih peluang yang wujud dari pelbagai projek kerajaan Laos untuk meningkatkan ekonomi negara itu.

"Projek yang dilancarkan kini mulai bergerak dengan pembinaan lebih banyak jalan raya dan projek infrastruktur," kata Zulkiflee. Beliau juga Ketua Pegawai Eksekutif International Commercial Bank.

Sambil pasaran domestik Laos kecil kerana mempunyai bilangan penduduk hanya enam juta orang, katanya ada antara sektor berkenaan besar seperti perlombongan dan loji kuasa.

"Salah satu sektor berkenaan ialah industri hotel kerana bilangan bilik tidak mencukupi semasa musim kemuncak. Dengan adanya lebih banyak penerbangan antarabangsa ke negara ini dan pendedahan negara itu kepada dunia luar, lebih ramai ahli perniagaan dan pelancong datang ke negera ini," kata Zulkiflee di sini.

Menurut Kedutaan Besar Malaysia di Laos, dari 2000 hingga 2008, pelaburan terkumpul keseluruhan Malaysia di Laos mencecah AS$135.3 juta di dalam 33 projek, yang sebahagian besarnya di dalam sektor niaga tani, perlombongan, hotel, tekstil dan tenunan pakaian, perbankan, industri kayu, perkhidmatan dan perdagangan.

Antara pelabur besar Malaysia ialah Gamuda, yang membina projek kuasa hidro Nam Theun 1 untuk menjana kuasa 450 megawatt di tengah Laos dan Mega First Corporation yang memajukan Projek Kuasa Hidro Don Sahong di Daerah Khong, di wilayah Champasak. - Bernama

No comments:

Post a Comment